Wednesday, November 4, 2009

Berbohong secara kompulsif

Mengapa berbohong?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.

Takut

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.

Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.

Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.

Tabiat

Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.

Meniru

Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.

No comments:

Post a Comment